arena

Chun Yong 'masih selamat'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KETUA jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong dijangka tidak tergugat meskipun skuad bimbingannya merekodkan persembahan terburuk di Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019 di Vietnam.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail ketika dihubungi memberi jaminan jawatan pengendali berpengalaman itu dikekalkan.

“Setakat hari ini, beliau (Chun Yong) adalah ketua jurulatih. Kita tiada apa-apa perancangan baru.

“Saya kena bincang di peringkat jawatankuasa futsal sebelum cadang (pertukaran ketua jurulatih) kepada EXCO FAM,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan beliau melihat tiada peningkatan dalam mutu permainan skuad kebangsaan untuk bersaing di peringkat Asia Tenggara.

“Mungkin juga pasukan lain jauh meningkat dan kita masih di takuk lama. Indonesia misalnya menunjukkan permainan yang meningkat hasil kem latihan panjang di luar negara.

“Tapi itu bukan alasan dan yang penting kita perkukuhkan pasukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Malaysia tewas tiga perlawanan Kumpulan B, iaitu 2-3 kepada Indonesia dalam perlawanan pertama, diikuti 4-6 kepada Australia dan 2-4 kepada tuan rumah, Vietnam.

Kegagalan ke separuh akhir turut menutup peluang beraksi di Kejuaraan AFC 2020.

Rosmadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bolasepak Pantai merangkap pengurus pasukan berkata, beliau sudah berbincang dengan Chun Yong bagi memperkukuhkan pasukan.

“Saya maklumkan kepada beliau jika tidak tekan ‘panic button’ sekarang, kita akan ketinggalan lebih jauh terutama kepada Thailand.

“Vietnam dulu kalah dengan kita tapi sekarang kekuatan mereka begitu hebat. Apapun kita kena perbetulkan perancangan kita,” katanya tanpa menafikan faktor keletihan dan jadual perlawanan padat turut mempengaruhi persembahan pasukan.

Sementara itu, Rosmadi turut mengakui Liga Premier Futsal Malaysia 2019 belum mampu melahirkan bakat baru untuk diserap dalam skuad kebangsaan.

“Jika dilihat senarai tidak ramai pemain baru dan masih bergantung kepada pemain lama. Ini kerana mereka belum dapat isi slot untuk bersaing di peringkat ASEAN.

“Jadi antara perancangan kita adalah menumpukan pemain futsal bawah 20 tahun termasuk pendedahan dan latihan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 7:23pm
d