arena

Tsitsipas jumpa Federer di separuh akhir

Oleh Reuters

PILIHAN ketiga dari Greece, Stefanos Tsitsipas bangkit menewaskan pemain Serbia, Filip Krajinovic 3-6, 6-4, 6-4 dalam aksi suku akhir Kejohanan Dalam Dewan Switzerland, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan Tsitsipas mara ke separuh akhir ke-10nya musim ini dan akan menentang pilihan utama, Roger Federer yang menang percuma selepas rakan senegara, Stan Wawrinka menarik diri akibat kecederaan belakang.

Federer memburu gelaran ke-10 di Basel dan ketiga berturut-turut buat kali kedua selepas meraih hatrik pada 2006-2008.

Tsitsipas meledak 12 ace dan 38 ‘winners’ dalam perlawanan menyaksikan kedua-dua pemain kehilangan servis tiga kali tetapi pemain muda Greece berusia 21 tahun itu jauh lebih bertenaga pada set kedua.

Ia juga kali ke-11 musim ini menyaksikan dia bangkit selepas ketinggalan pada set pertama sebelum menang perlawanan.

Satu lagi aksi separuh akhir bakal mempertemukan pemain bukan pilihan, Alex de Minaur dari Australia dan pemain Amerika Syarikat, Reilly Opelka.

Pemain wildcard, De Minaur menang 6-4, 7-6(4) ke atas pemain Jerman, Jan-Lennard Struff manakala Opelka meledak 31 ace ketika menewaskan pilihan keempat dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-3, 3-6, 6-3.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 9:02am
d