arena

Wales mahu balas dendam

Oleh AFP

JUARA Enam Negara, Wales tekad mahu membalas dendam ketika menentang Afrika Selatan pada saingan separuh akhir Piala Dunia Ragbi di Yokohama esok.

Wales menang empat aksi terakhir Ujian di antara kedua-dua pasukan (selepas hanya menang dua aksi pertama daripada 31) tetapi mereka tewas 18-23 pada suku akhir Piala Dunia 2015 di Twickenham dengan fly-half Bok, Handre Pollard mencipta 18 mata.

"Kami rasa seperti kami ada hutang perlu dibayar. Sesuatu kembali menghantui kami dan kami berharap dapat mengatasi mereka,” kata pemain Wales, Jonathan Davies.

Wales yang tidak pernah mara ke final berusaha menjadi pasukan kedua dari hemisfera utara bergelar juara dunia manakala Afrika Selatan sudah dua kali menjulang trofi pada 1995 dan 2007.

Davies tidak beraksi ketika menewaskan Perancis 20-19 dalam aksi sengit suku akhir akibat kecederaan lutut tetapi bakal kembali beraksi menentang Springboks.

Pemenang esok akan menentang juara bertahan New Zealand atau England yang beraksi petang ini dan final berlangsung pada 2 November di Yokohama.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 12:08pm
d