arena

Skuad B-18 benam Taiwan pula

Oleh Syazwan Msar

SKUAD Bawah-18 negara terus mengekalkan momentum kemenangan apabila menewaskan Taiwan 5-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), petang tadi.

Kemenangan kali kedua selepas menewaskan Sri Lanka 4-0 semalam jelas menyuntik semangat anak buah Brad Maloney untuk mencipta kejayaan dalam saingan Kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan berlangsung awal bulan depan.

Pada perlawanan petang tadi menyaksikan skuad negara menguasai perlawanan apabila Fakrul Iman berjaya melakukan hatrik dengan merobek gol lawan seawal minit ke-17.

Walaupun beraksi dalam cuaca hujan, Fakrul terus meledak gol kedua pada m-22 sebelum mengakhiri separuh masa pertama dengan gol ketiga pada m-45.

Babak kedua bersambung menyaksikan Brad melakukan sekurang-kurangnya lima pertukaran bagi memberi peluang kepada pemain lain beraksi.

Malaysia terus menambah derita skuad kendalian Chen Jiunn Ming apabila meledak gol keempat menerusi Alif Mutalib pada m-54.

Namun, dalam tempoh seminit perlawanan kembali bersambung, Muslihuddin Atiq terus melebarkan jurang gol dengan menyumbat gol kelima.

Taiwan yang sekali sekala gagal melakukan serangan berbahaya menembusi benteng pertahanan negara sekali gus menyaksikan kedudukan kekal 5-0 hingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: October 26, 2019 @ 7:25pm
d