arena

Atletico temu rentak kemenangan

Oleh Reuters

ATLETICO Madrid menamatkan deretan tiga perlawanan La Liga tanpa kemenangan selepas menewaskan Athletic Bilbao 2-0 di gelanggang sendiri, awal pagi ini, sekali gus menyamai mata dengan pendahulu liga Barcelona.

Saul Niguez meletakkan Atletico di depan menerusi gol pada minit ke-28 manakala Alvaro Morata menambah jaringan dari sudut dekat pada minit ke-64 untuk mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri dalam empat perlawanan.

Atletico mempunyai 19 mata selepas 10 perlawanan menyamai juara bertahan Barca, yang beraksi kurang satu perlawanan Clasico berdepan Real Madrid yang ditunda sehingga Disember berikutan isu keselamatan.

Kemenangan itu membantu mengurangkan tekanan di the Wanda Metropolitano selepas penyokong mengejek pasukan itu dan terutama pemain tengah Koke selepas menang 1-0 ke atas Bayer Leverkusen dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

“Hari ini penyokong memihak kami dan ia membuat kamu lebih bersemangat untuk beraksi sejak bermula perlawanan,” kata Saul.

“Kami selalu meletakkan sasaran untuk menang dan tiga keputusan seri berturut-turut (dalam La Liga) mengecewakan kami, jadi ia penting untuk menang hari ini.”

Atletico turun tanpa pemain termahal mereka Joao Felix yang cedera buku lalu dan pertahanan utama Jose Gimenez serta Stefan Savic, manakala pengendali Diego Simeone merehatkan Diego Costa untuk membuka laluan buat Angel Correa.

Pemain Argentina, Correa kurang diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama musim ini dan membuat penampilan kedua dalam liga tetapi dia memanfaatkan peluang itu dengan menjadi pencetus kepada kedua-dua gol Atletico.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 12:20pm
d