arena

Pelayar Ganu idam kuasai SUKMA 2020

Oleh Malik Muhamad

PASUKAN pelayaran Terengganu serius dalam misi meraih lebih banyak pungutan pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang bakal berlangsung di Johor pada Julai 2020.

Selain itu skuad Terengganu berazam mahu mengekalkan status sebagai kuasa sukan pelayaran negara sebagaimana yang diraih pada temasya SUKMA ke-19 di Perak tahun lalu.

Kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan dalam sukan pelayaran itu selepas mengutip lapan emas dan tiga perak manakala SUKMA 2016, Terengganu merangkul empat emas, empat perak dan satu gangsa.

Jurulatihnya, Ku Anas Ku Zamil berkata, berdasarkan prestasi semasa serta pencapaian atlet, skuad pelayaran Terengganu mampu mempertahankan gelaran pada edisi ke-20 nanti.

"Kami optimis dengan barisan atlet yang ada ditambah dengan atlet pelapis, Terengganu mampu mengekalkan status sebagai kuasa dalam sukan air itu," ujar Ku Anas selepas berakhir Liga Layar Terengganu Siri 8 di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejohanan itu seramai 70 pelayar dari Terengganu, Selangor dan juga pasukan Klang Valley Sailing Club berkampung selama tiga hari di Pulau Duyong bagi menyertai kejohanan membabitkan pelbagai kategori yang akan dipertandingkan pada SUKMA 2020.

Bagi kategori Optimist keseluruhan disapu bersih sepuluh pelayar Terengganu iaitu Muhammad Fikri Aqil Mohd Fouzi, Muhammad Syazwan Kamaruman, Asmadi Azman, Al Jazimin Afif Zulkiflie dan Nur Faarihah Abdul Rani.

Turut merangkul gelaran Muhammad Adam Aierell Mohd Azizol, Muhammad Nazmi Qusyairi Mohd Nazri, Muhammad Izaan Danial Mohd Nazri, Muhammad Zaquan Afiq Marzuki dan Muhammad Haziq Naufal Abdullah.

“Ini adalah kejohanan terakhir dan penanda aras sebelum Cabaran Monsun Terengganu 2019 yang akan diadakan di Duyung Marina pada 28 November hingga 1 Disember.

“Selain mencungkil bakat baharu, matlamat Liga Layar Terengganu ini adalah untuk memperbanyakkan kejohanan dalaman, pendedahan bagi pelayar baharu, mengenal pasti kelemahan individu, menghilangkan rasa takut dan lebih bersemangat serta pertandingan yang realistik dengan kejohanan sebenar,” ujar Ku Anas.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 2:14pm
d