arena

SMKGV tuan rumah ragbi antarabangsa

Oleh Mohd Amin Jalil

SEBANYAK 219 pasukan mewakili sekolah menengah (SM) dan sekolah kebangsaan (SK) dari seluruh negara bakal bersaing pada Kejohanan Ragbi Antarabangsa Super KGV 10 sepasukan 2019.

Kejohanan berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMKGV), di Seremban, dari 1 hingga 3 November ini.

Setiausaha kejohanan yang juga penyelaras sukan SMKGV, Husnizan Hussain berkata, kejohanan berprestij peringkat sekolah itu mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan dan sokongan daripada kerajaan negeri menjadi sebahagian daripada program pembangunan ragbi sekolah kluster kecemerlangan.

Menurutnya, kejohanan anjuran SMKGV itu akan membabitkan lebih daripada 3,000 pemain dan turut menarik penyertaan Thailand dan Sri Lanka yang masing-masing menghantar enam dan tujuh pasukan.

Katanya, enam kategori umur dipertandingkan bagi lelaki iaitu bawah 11 hingga bawah 16 tahun manakala empat kategori bagi pasukan perempuan membabitkan bawah 11, 12, 14, dan bawah 16 tahun.

"Semua negeri menghantar pasukan masing-masing dengan Johor, Negeri Sembilan dan Selangor mencatat bilangan pasukan paling banyak iaitu masing-masing 23, 44 dan 67 pasukan.

"Kita menerima penyertaan dari pasukan Thailand dan Sri Lanka. Saya jangkakan kejohanan kali ini menjanjikan saingan paling sengit kerana membabitkan penyertaan paling banyak," katanya.

Menurutnya, kejohanan itu menjadi medan mencungkil bakat baru dalam sukan berkenaan sekali gus memastikan negara tidak ketandusan pemain ragbi berbakat dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa pada masa depan.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 2:34pm
d