arena

FIFA tak serius: Toure

Oleh AFP

YAYA Toure berkata FIFA tidak bersungguh-sungguh untuk mengatasi isu perkauman dan England sepatutnya meninggalkan padang selepas ejekan monyet ketika kelayakan Euro 2020 di Bulgaria.

Bekas pemain tengah Barcelona dan Manchester City berusia 36 tahun mengulas mengenai perkara itu selepas membantu Qingdao Huanghai melangkah ke Liga Super China pada hujung minggu ini.

Kemenangan England 6-0 di Sofia awal bulan ini dicemari sorakan berbaur perkauman dan tabik Nazi daripada segelintir penyokong Bulgaria.

Perlawanan itu ditangguhkan dua kali pada separuh masa pertama, tetapi pemain England memutuskan untuk menamatkan perlawanan daripada meninggalkan padang.

“Ini memalukan, mengapa anda bermain untuk England?” kata Toure yang sering lantang menyuarakan mengenai masalah perkauman dalam bola sepak, mengenai keputusan itu.

“Mereka sering berkata, ‘Blah, blah, blah’, dan apa? Tiada apa yang berlaku.”

Pemain tahunan Afrika empat kali itu berkata: “Orang dari FIFA tidak peduli kerana kami bercakap mengenainya tetapi ia masih berterusan.

“Saya tidak mahu katakan yang saya tidak bimbang, saya bimbang,” kata bekas pemain Ivory Coast.

Raheem Sterling, penyerang England dan Manchester City dipuji kerana menggalas tugas penting memperjuangkan isu perkauman di dalam dan luar negara.

Namun Toure, bekas rakan sepasukannya di City berkata ia ‘belum cukup bagus’.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 9:44pm
d