arena

Pulisic lega bantu Chelsea

Oleh AFP

PEMAIN Chelsea Christian Pulisic berkata dia merasai ‘kelegaan’ selepas menjaringkan hatrik ke atas Burnley pada Sabtu, selepas menempuhi permulaan sukar di kelab Liga Perdana Inggeris.

Pemain Amerika Syarikat berusia 21, yang dibeli kelab itu pada harga £58 juta (RM311.8 juta) dari Borussia Dortmund menjadi pemain Chelsea termuda meledak hatrik ketika menang 4-2.

Pulisic dikatakan dibeli untuk menggantikan pengatur serangan Eden Hazard, yang menyertai Real Madrid pada musim panas tetapi mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

Perlawanan Sabtu lalu adalah kali kedua dia disenaraikan dalam kesebelasan sejak Ogos, selain aksi Piala Liga dengan pasukan liga bawahan Grimsby dan jaringan pertamanya buat kelab itu dalam sembilan penampilan.

“Sudah tentu ada rasa perasaan lega,” katanya.

“Anda boleh melihat dalam emosi saya selepas jaringan pertama, lega menjaringkan gol pertama dan membantu pasukan di peringkat ini.

“Ia sesuatu yang bagus untuk saya.”

Pulisic berkata perkara terpenting adalah pengurus Chelsea Frank Lampard, yang masih belum mengendali kelab itu ketika dia dibeli, meletakkan kepercayaan terhadapnya.

Lampard berkata dia berhak mendapat peluang apabila dia diturunkan daripada bangku simpanan untuk membantu jaringan kemenangan Michy Batshuayi ketika menewaskan Ajax 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara.

“Lampard percayakan daya dan dia memberitahu saya mengenainya.”

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 10:08pm
d