arena

Sergino Dest pilih Amerika

Oleh Reuters

PEMAIN pertahanan Ajax Amsterdam kelahiran Belanda, Sergino Dest memilih untuk bermain buat Amerika Syarikat (AS) daripada Belanda sekali gus menjadi satu tamparan kepada jurulatih Ronald Koeman, yang sebelum ini berharap dapat memujuk pemain itu.

“Ia bukan pilihan yang mudah dan saya memikirkan agak lama dan sukar, tetapi saya rasa ia keputusan yang tepat,” kata pemain berusia 18 tahun itu kepada Ajax TV semalam.

Pemain remaja dilahirkan di Almere, mempunyai bapa rakyat Amerika dan sudah beraksi dua perlawanan persahabatan antarabangsa buat AS tetapi tidak beraksi dalam perlawanan Liga Negara CONCACAF berdepan Cuba dan Kanada awal bulan ini untuk mengambil masa membuat keputusan.

Koeman pernah berkata dia melihat masa depan cerah buat Dest sebagai pemain pertahanan kanan untuk pasukan Belanda.

“Saya sudah bercakap dengannya dan menerangkan kepadanya dan masa depan bersama skuad kebangsaan Belanda,” katanya pada sidang media awal bulan ini.

“Tetapi semalam Sergino menelefon saya pagi ini dan menerangkan kenapa dia mengambil keputusan untuk beraksi buat Amerika.

“Ia keputusan yang sukar buatnya tetapi dia hanya boleh membuat satu pilihan dan saya menghormati keputusannya.”

Aksi Dest turut diikuti jurulatih AS Gregg Berhalter ketika Ajax tewas 0-1 kepada Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara Khamis lalu.

Dest berkata keputusannya dimotivasikan dengan fakta bahawa pasukan Amerika sudah mempunyai perancangan yang lama untuk menyerapnya dalam pasukan dan dia bermain buat negara itu bagi pasukan di peringkat bawah 17 dan bawah 20 tahun.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 9:42am
d