arena

Malang lagi buat Naomi

Oleh AFP

JUARA dua Grand Slam, Naomi Osaka menarik diri daripada kejohanan penamat musim Pusingan Akhir WTA kerana kecederaan bahu di Shenzhen, China hari ini, tahun kedua berturut-turut dia terpaksa menarik diri kerana kecederaan.

Naomi, yang menarik diri pada edisi tahun lalu kerana kecederaan hamstring, dijadual bertemu pemain nombor satu dunia Ashleigh Barty lewat hari ini.

“Saya kecewa terpaksa menarik diri daripada Pusingan Akhir,” kata Naomi. “Ia kejohanan yang hebat di Shenzhen dan ia kejohanan terbesar tahunan WTA.

“Ini bukannya cara bagaimana saya mahu menamatkan kejohanan ini atau musim saya. Saya harap kesihatan saya bertambah baik selepas ini dan berharap boleh kembali di Shenzhen tahun depan,” katanya.

Naomi memulakan kejohanan round-robin bernilai AS$14 juta (RM58.5 juta) itu dengan kemenangan tiga set ke atas Petra Kvitova, Ahad lalu untuk meneruskan catatan kemenangannya kepada 11 berturut-turut selepas menang kejuaraan di Beijing dan Osaka.

Dia berazam untuk menebus kekecewaan pada penampilan sulung Pusingan Akhir WTA tahun lalu apabila kempen tanpa menangnya berakhir dengan dia menarik diri dalam tangisan menentang Kiki Bertens kerana kecederaan hamstring.

Pemain nombor 10 dunia, Kiki menggantikan Naomi bagi baki saingan perlawanan dan bertemu Ashleigh pada aksi Kumpulan Merah hari ini.

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 7:01pm
d