arena

Springboks kekalkan gaya tradisi

Oleh AFP

AFRIKA Selatan mungkin dikritik kerana mengamalkan taktik kurang menarik sepanjang aksi Piala Dunia Ragbi tetapi jurulatih, Rassie Erasmus tegas menyatakan mereka tetap meneruskan pendekatan seumpama itu apabila menentang England pada perlawanan akhir di Yokohama, Sabtu ini.

Springboks mengamalkan corak permainan ‘ala tradisional’ yang menitikberatkan tendangan, serangan yang hanya dilakukan bila perlu serta pertahanan mantap dan kaedah itu dianggap berkesan serta sering memerangkap lawan pada kejohanan kali ini.

Ketika ketiadaan pemain sayap, Cheslin Kolbe yang cedera, kemenangan 19-16 pada separuh akhir ke atas Wales, taktik Springboks dijangka berterusan dan mereka tidak memerlukan pujian kerana bermain cantik. Ketiadaan Kolbe berjaya ditampung Makazole Mapimpi.

“Jika anda memahami kedudukan kami dalam ranking dunia iaitu sekitar tangga keenam, ketujuh dan kelapan, anda pasti faham dengan cabaran yang mampu kami lalui,” kata Erasmus.

“Kami juga memasang impian untuk muncul salah satu kuasa besar dunia ragbi dan kami juga mahu berada di kedudukan teratas atau nombor dua.

“Untuk mencapai hasrat itu, anda perlukan kekuatan di setiap posisi dan buat masa ini, kami menumpukan kepada usaha mencatat keputusan positif walaupun dalam jangka pendek.”

Erasmus menegaskan: “Kami menerima hakikat ada beberapa perkara dalam permainan kami yang perlu ditingkatkan dan kami akan terus berusaha memperbaikinya.

“Kami menerima kritikan ini dengan hati terbuka tapi kami juga gembira kerana dapat layak ke final Piala Dunia dan inilah kedudukan yang kami inginkan sejak lama dulu.”

Disiarkan pada: October 29, 2019 @ 10:07pm
d