arena

Piala berprestij penuh sentimental

Oleh Syazwan Msar

HANYA dengan menjulang Piala Malaysia bakal melengkapkan karier seorang pemain bola sepak tempatan, malah boleh dikatakan ia memberi kenangan abadi yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

Perkara itu diakui bekas pemain Kuala Lumpur, Subadron Aziz yang mencatat sejarah apabila menjulang trofi piala tertua di Asia Tenggara itu sebanyak tiga kali dari tahun 1987 hingga 1989 bersama skuad ibu kota.

Beliau berkata, Piala Malaysia mempunyai nilai sentimental dan paling bernilai dalam kariernya sebagai pemain bola sepak satu ketika dahulu.

“Menang Piala Malaysia dalam masa tiga tahun berturut-turut kita rasa satu benda luar biasa, rasa macam Malaysia ni kita yang punya.

“Karier dalam bola sepak tak lengkap kalau tak pernah pegang Piala Malaysia, ada pemain yang tak pernah dapat Piala Malaysia dan bukan senang nak pegang Piala Malaysia, malah kalau tak menang piala ni tak menjadi satu kenangan atau pun sejarah,” katanya di sini.

Mengimbau kenangan lalu, beliau menyatakan bukan mudah untuk menjulang trofi Piala Malaysia itu, malah sanggup bermati-matian bagaikan seorang pahlawan bermain di dalam padang.

Pernah merasai kekalahan pada tahun 1985 dan 1986, beliau tidak rela menerima nasib sama pada tahun berikutnya apabila menanam tekad membantu pasukan menjulang trofi Piala Malaysia.

“Tahun 1985 kalah, tahun 1986 kita menang juarai liga, tapi kalah dengan Pahang pada peringkat separuh akhir saya rasa sangat sedih bila kalah, jadi saya bertekad tak nak kalah lagi.

“Waktu itu, saya rasa saya dah senior, saya anggap ini pasukan saya, saya akan bawa segala-galanya apa yang saya ada untuk menang, malah jika dalam bola sepak bagi saya mati pun saya sangup,” jelasnya.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 4:40am
d