arena

Man City bubuh 'garam' ke luka Southampton

Oleh AFP

MANCHESTER City mara ke suku akhir Piala Liga selepas dua jaringan Sergio Aguero menambah duka Southampton ketika menang 3-1, awal pagi tadi.

Skuad Pep Guardiola yang juga juara bertahan Piala Liga mendahului dua gol pada babak pertama di Stadium Etihad Stadium hasil jaringan Nicolas Otamendi dan Aguero.

Guardiola melakukan sembilan pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu lalu dengan pemain tengah berusia 18 tahun Tommy Doyle tampil kali pertama.

Datuk Doyle, Mike adalah kapten City ketika mereka menjuarai Piala Liga pada 1976 dan kelab itu kini dalam misi memburu gelaran ketujuh kejohanan berkenaan.

City yang menjulang trofi berkenaan sebanyak tiga kali sepanjang empat musim lalu, memulakan permainan dengan sorakan “Kami mahu 10” merujuk kepada kekalahan 9-0 Southampton di tangan Leicester pada Jumaat lalu.

Walaupun gagal menyamai keputusan berkenaan, kemaraan City ke suku akhir tampak sukar dihalang apabila mereka menguasai babak pertama.

Namun gol pertama hadir selepas 20 minit apabila Bernardo Silva membuat hantaran yang ditanduk Otamendi. Gol kedua dijaringkan Aguero selepas menerima hantaran lintang Kyle Walker pada minit ke-38.

Aguero meledak gol keduanya dan ketiga City pada minit ke-56 manakala James Ward-Prowse menjaringkan gol tunggal Southampton pada minit ke-75.

Southampton kini di dalam zon penyingkiran Liga Perdana dan pengendalinya Ralph Hasenhuttl dikatakan berdepan ancaman pemecatan oleh kelab.

“Pertandingan ini bagus untuk menggerakkan pasukan. Kami bermain dengan serius, kualiti hantaran kami juga tinggi,” kata Guardiola.

“Piala Liga amat bagus untuk pemain muda dan pemain yang tidak beraksi dalam perlawanan sebelumnya.

“Anda tidak boleh menang empat gelaran semusim apabila anda tidak bermain dengan serius. Saya gembira dengan apa yang saya lihat.” AFP

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 8:55am
d