arena

Chardy sekat kemaraan Medvedev

Oleh Reuters

PILIHAN keempat, Daniil Medvedev tewas mengejut di tangan pemain tuan rumah, Jeremy Chardy pada hari malang buat pemain Russia di pusingan kedua Masters Paris tetapi Alexander Zverev mencerahkan peluang layak ke Finals ATP, awal pagi tadi.

Medvedev yang mara ke Finals ATP di London bulan depan susulan prestasi memberangsangkan musim ini tewas kali pertama 4-6, 6-2, 6-4 sejak final Terbuka AS .

Dalam perlawanan awal, juara bertahan, Karen Khachanov turut terkandas apabila tewas 7-6(5), 3-6, 7-5 di tangan pemain Jerman, Jan-Lennard Struff.

Struff berusia 29 tahun mengakhiri cabaran pilihan kelapan itu dengan pukulan kencang ke garisan belakang sekali gus menjejaskan peluang Khachanov layak ke Finals ATP.

Medvedev menang sembilan perlawanan berturut-berturut bermula di St Petersburg dan Shanghai untuk gelaran keempat musim ini tetapi bergelut ketika menentang Chardy yang bersemangat di gelanggang sendiri.

Pemain Russia itu yang mara ke final kali keenam berturut-turut menguasai set pertama tetapi kegagalannya menyempurnakan 14 daripada 15 mata break memberikan peluang kepada Chardy meraih kemenangan.

Malahan Chardy menyelamatkan satu daripadanya ketika dia melakukan servis penamat pada set penentuan untuk mara ke pusingan ketiga di Paris buat kali pertama daripada 10 percubaan.

Chardy akan menentang pemain Chile, Cristian Garin atau finalis 2016, John Isner dari Amerika Syarikat di pusingan berikutnya.

Zverev yang muncul juara Finals ATP musim lalu berusaha meraih satu daripada dua slot tahun ini hanya memerlukan kurang sejam mengatasi cabaran pemain Sepanyol, Fernando Verdasco 6-1, 6-3.

Pemain Jerman itu yang kini menduduki tangga ketujuh dalam perlumbaan ke London bakal menentang Denis Shapovalov atau Fabio Fognini di pusingan seterusnya.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 10:35am
d