arena

Aidil dah ada bayangan 11

Oleh Aizat Sharif

KEDAH sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama bagi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, walaupun ketiadaan tonggak utama pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali yang digantung perlawanan bagi aksi final, beliau sudah mempunyai kesebelasan utama termasuk pengganti dua pemain pertahanan itu.

“Sudah tentu saya sudah ada bayangan atau barisan pemain yang akan beraksi pada malam itu nanti termasuk pemain yang mengisi tempat Renan dan Rizal.

“Namun begitu, terlalu awal untuk membuat kesimpulan terhadap pemilihan pemain dan kami masih mempunyai tiga hari sebelum hari sebenar, apa jua boleh berlaku termasuk kecederaan serta pertukaran saat akhir jadi tunggu dan lihat,” katanya.

Beliau berkata, selain penggantungan Renan dan Rizal, anak buahnya kini berada pada prestasi terbaik.

“Apa yang harus kami fokuskan waktu ini adalah sedaya upaya untuk mengelakkan pemain daripada mengalami kecederaan.

“Malah, pemain kini berada dalam situasi terbaik untuk bertemu JDT,” katanya.

Aidil berkata, walaupun JDT dianggap sebagai pasukan pilihan kerana mempunyai pemain yang begitu ampuh di setiap posisi, ia tidak bermakna pasukannya tiada strategi untuk mengekang asakan lawan di Bukit Jalil.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 9:19pm
d