arena

Berita baik buat JDT

Oleh Firdaus Hashim

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) masih berpeluang kekal bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara Asia musim 2021 selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan akan menambah bilangan pasukan pada pertandingan itu.

Penambahan daripada 32 kelab kepada 40 pada musim 2021 disahkan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John yang mana setiap bahagian iaitu Asia Timur dan Asia Barat akan ditambah satu lagi kumpulan.

Ini bermakna setiap bahagian akan mempunyai lima kumpulan dengan empat kelab dalam setiap kumpulan.

Jelas Windsor, keputusan itu dicapai pada mesyuarat jawatankuasa pertandingan bulan lalu dengan objektif untuk meningkatkan kualiti dan merancakkan pembangunan bola sepak di negara membangun dalam sukan itu.

“Apabila penambahan jumlah kelab yang terbabit dengan ACL ia secara tak langsung dapat membangunkan bola sepak di negara lain.

“Malah perkembangan bola sepak di Vietnam, Filipina dan Kyrgyzstan dilihat jurangnya sudah tiada. Jadi kami buka pintu untuk memberi motivasi tambahan kepada mereka mencabar kelab lain.

“Kami sedar untuk membangunkan bola sepak kami kena beri peluang kepada pasukan lain juga. Malah mereka juga sudah tentu akan memperbaiki fasiliti dan kualiti pasukan untuk bersaing di ACL,” katanya ketika menerima kunjungan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di ibu pejabat AFC, Bukit Jalil, semalam.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 12:08am
d