arena

Kunci kaki kiri Safawi

Oleh Firdaus Hashim

“SAYA akan berusaha kunci kaki kiri dia. Itu kata tonggak pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof yang bertekad mengikat pergerakan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jelasnya, tendangan kaki kidal Safawi amat berbisa yang boleh meranapkan impian skuad Helang Merah untuk menjulang trofi kedua musim ini selepas Piala FA, Julai lalu.

Katanya, pengalaman dua kali berdepan pemain itu dalam saingan Liga Super musim ini akan dijadikan modal bagi menghalang tonggak kelahiran Dungun, Terengganu itu.

“Dah dua kali saya jumpa dia dan seperti semua orang tahu, dia antara pemain yang bagus di Malaysia. Walaupun dua kali jumpa tapi bagi saya pentas final berbeza dan saya perlu mengkaji lagi permainan Safawi.

“Tapi, berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya kena tutup kaki kiri dia dan tutup daripada dia melakukan larian celah pemain.

“Memang larian celah pemain dan rembatan ke arah gol amat bahaya, jadi saya kena tutup kaki kiri dan jangan sesekali bagi dia buat rembatan ke arah gawang Kedah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Azmeer, 29, yang beraksi cemerlang ketika aksi separuh akhir kedua menentang Pahang di Stadium Darul Makmur berjaya memainkan peranannya dengan sentiasa membayangi pergerakan Mohamadou Sumareh di sebelah kanan.

Sudah pasti aksi sama ditagih pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak ke atas bahu Azmeer untuk merantai pergerakan Safawi yang ketika ini berada pada prestasi terbaik khususnya selepas meledak hatrik mengetepikan Selangor di separuh akhir.

Mengenai perlawanan akhir itu, Azmeer akui ia adalah pentas keduanya selepas turut membantu Kedah ke final Piala Malaysia pada 2016 lalu.

“Ini kali kedua saya datang (hijrah) ke Kedah dan ini juga kali kedua saya ke pentas final Piala Malaysia. Jadi dengan jurulatih dan ramai pemain baharu saya lihat ini final berbeza berbanding 2016 lalu.

“Sebab dulu 2016 ramai pemain lama dalam pasukan Kedah dan kali ini pasukan berwajah baharu serta ini juga final kedua kami untuk musim ini,” katanya yang sekadar memanaskan bangku simpanan ketika final Piala FA.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 5:00am
d