arena

Skuad Kedah naik pesawat eksekutif

Oleh Firdaus Hashim

BAGI melonjakkan semangat dan motivasi pemain menjelang sepak mula final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini, pemain Kedah mendapat tajaan menaiki pesawat khas ke Kuala Lumpur hari ini.

Difahamkan, penerbangan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu ditaja oleh pemilik Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim yang juga anak kelahiran Sungai Petani, Kedah.

Menerusi beberapa keping gambar yang dimuat naik di laman Facebook FA Kedah, pemain skuad Helang Merah kelihatan ceria menaiki pesawat khas eksekutif itu ke Kuala Lumpur bagi menghadapi aksi final bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Alhamdulillah, rezeki buat skuad Hijau Kuning menaiki pesawat Weststar menuju Subang. Suntikan moral buat pasukan menuju Bukit Jalil!,” menurut kenyataan di laman Facebook FA Kedah.

JDT dan Kedah mara ke final Piala Malaysia selepas masing-masing menewaskan Selangor dan Pahang pada separuh akhir kedua yang penuh mendebarkan Sabtu lalu.

Malah, pertembungan antara skuad Harimau Selatan dan Helang Merah turut mengulangi aksi final dua tahun lalu yang menyaksikan JDT menundukkan pesaingnya 2-0 di Stadium Shah Alam.

Aksi final kali ini dijangka menarik kerana kedua-dua pasukan mahu memburu trofi kedua musim ini selepas JDT mempertahankan Liga Super manakala Kedah muncul juara Piala FA.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 6:48pm
d