arena

Milan menang tipis atasi SPAL

Oleh Reuters

AC Milan dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan skuad kerdil, SPAL 1-0 dalam aksi Serie A di San Siro awal pagi tadi untuk kemenangan pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Stefano Pioli sejak menggantikan Marco Giampaolo.

Kemenangan itu melonjak Milan di kelompok 10 teratas dengan 13 mata daripada 10 perlawanan manakala SPAL yang hanya sekali menewaskan Milan di tempat lawan kekal di tangga kedua tercorot dengan tujuh mata.

Selepas babak pertama yang hambar, pemain sayap Suso masuk pada minit ke-57 dan menjaringkan gol enam minit kemudian menerusi sepakan percuma selepas Krzysztof Piatek dijatuhkan di luar kotak penalti.

Sebelum itu, pertahanan Milan, Theo Hernandez menembusi gawang pelawat selepas mendapat hantaran Lucas Paqueta pada minit ke-47 tetapi dibatalkan akibat offsaid.

Paqueta hampir menggandakan jaringan pada minit ke-79 namun penjaga gol SPAL, Etrit Berisha lebih tangkas menyelamatkan bola daripada menembusi gawangnya.

Pioli memungut satu mata daripada dua perlawanan sejak menggantikan Giampaolo yang dipecat pada 9 Oktober lalu dan melakukan empat pertukaran ke atas barisan yang tewas 1-2 kepada AS Roma di Stadio Olimpico pada Ahad lalu.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 7:04am
d