arena

Pecutan amaran Quartararo

Oleh Saiful Affendy Sapran

AMARAN awal diberikan oleh pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo apabila mencatat masa terpantas 1 minit 58.576 saat pada sesi latihan bebas kedua Grand Prix (GP) Malaysia hari ini sekali gus melakar rekod sepusingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pelumba Perancis itu yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pergelangan kaki selepas terjatuh ketika GP Australia minggu lalu turut cemerlang apabila mendominasi sesi latihan bebas pertama pada sebelah pagi.

“Ia baru sesi latihan bebas. Apa yang paling penting kami perlu lebih kompetitif juga pada sesi kelayakan esok jika mahu berada di barisan paling depan.

“Pasukan melakukan tugas dengan baik dan ia perkembangan yang cukup positif menjelang sesi kelayakan.

“Saya masih rasa sakit tapi apabila anda fokus ketika di litar, rasa sakit itu hilang sedikit dan ia satu perkembangan yang bagus untuk saya,” katanya.

Turut cemerlang rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli yang mencatat masa kedua terpantas 1:59.110s pada sesi latihan bebas pertama dengan Andrea Dovizioso (Ducati) ketiga terpantas.

Manakala juara dunia, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda agak tenggelam apabila sekadar mencatat masa keenam terpantas.

Sementara itu, hari ini juga Petronas Yamaha SRT mendapat berita gembira apabila bakal dibekalkan jentera spesifikasi A Yamaha YZR-M1 tahun depan, iaitu lebih baik berbanding tahun ini.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 5:11pm
d