arena

Adam sedia hadapi cuaca tidak menentu

Oleh BERNAMA

PELUMBA negara, Adam Norrodin mengakui masih belum mempunyai pengalaman yang cukup dalam perlumbaan di litar basah bagi membolehkan dia berada di kelompok utama pada setiap pusingan kelas Moto2 saingan MotoGP Dunia.

Biarpun keadaan cuaca tidak menentu pada Grand Prix Motosikal Malaysia Ahad ini, pelumba berusia 21 tahun itu tetap bersedia mengharungi pusingan kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang esok.

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing, yang juga dikenali sebagai ‘Torete’ itu, berkata, walaupun pernah beberapa kali beraksi di litar basah namun pengalaman itu masih belum mencukupi buatnya.

“Minggu lalu di GP Australia hujan lebat, aksi saya ada peningkatan sedikit tapi masih tidak mencukupi untuk berada di depan seperti dalam kelas Moto3.

“Jadi saya masih tidak dapat jangka lagi di mana kedudukan saya untuk kelayakan esok kerana pada awalnya saya jangka keputusan pada perlumbaan latihan bebas 2 lebih baik,” katanya selepas aksi sesi latihan bebas, hari ini.

Pada sesi FP1, Adam menduduki tempat ke-28 dengan kepantasan 2 minit 09.107 saat dan jatuh dua anak tangga pada FP2 dengan masa 2:09.326s.

Adam yang akan kembali bersaing dalam Kejuaraan Remaja di Sepanyol (CEV) musim depan, menggantikan slot Khairul Idham Pawi dalam perlumbaan kelas Moto2 bermula di GP San Marino.

Khairul Idham terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan tangan kanan di Sepanyol, Ogos lalu, susulan kecederaan yang dialaminya pada GP Sepanyol, Mei lalu.

Disiarkan pada: November 1, 2019 @ 9:31pm
d