arena

Guardiola sokong Klopp mengenai jadual padat

Oleh AFP

PEP Guardiola berkata dia bersetuju dengan pengendali pencabar kejuaraan liga, Jurgen Klopp mengenai jadual memenatkan perlu dihadapi lima pasukan teratas Liga Perdana menjelang pertembungan berdepan Southampton hari ini.

Klopp mengkritik terlalu banyak jumlah perlawanan untuk pasukannya bermain ketika bergelut untuk mencari penyelesaian menyiapkan pasukan ketika berdepan Aston Villa pada saingan suku akhir Piala Liga yang turut bertembung dengan kejohanan Piala Dunia Kelab bola sepak di Qatar pada Disember.

Guardiola mampu memanfaatkan kelebihan diharungi Liverpool yang sudah bermain 17 perlawanan dalam lima kejohanan dengan jadual padat ketika pemburuan kejuaraan Liga Perdana namun bos Manchester City juga memikirkan jadual berkenaan perlu diringankan.

“Saya sangat bersetuju dengan Jurgen. Hanya satu cara kita dapat selesaikan perkara ini adalah kurang perlawanan,” kata Guardiola kepada media menjelang pertembungan di tempat sendiri berdepan pasukan bergelut The Saints buat kali kedua dalam masa seminggu.

“Mereka perlu kurangkan jadual perlawanan, kurang kejohanan dan lebih banyak pembaikan. Pada musim Krismas kami bermain pada 27 dan 29 Disember.

“Kami selalu berbahas mengenai perkara ini. Mereka sering memperkatakannya dalam mesyuarat UEFA. Saya sependapat dengan Jurgen apabila dia meluahkan kenyataan seperti ini mengenai terlalu banyak perlawanan bola sepak.”

City sudah bermain 118 perlawanan sejak dua musim lalu, memenangi lima trofi domestik di England dan Guardiola mengakui barisan kesebelasan utama kerap bertukar dan mengutamakan sesuatu perlawanan adalah cara terbaik untuk melangkah lebih jauh.

“Saya memberi keutamaan untuk tidak menurunkan Ilkay Gundogan, Kevin De Bruyne dan David Silva dalam saingan Piala Carabao (liga),” katanya.

“Saya fikir Jurgen dan Arsenal turut melakukan perkara sama. Kecuali Manchester United dengan situasi yang mereka lalui.

“Bagi pasukan lain, pertandingan itu sangat bagus untuk memberi giliran pemain dan kepada pemain yang jarang beraksi. Tetapi memang benar terlalu banyak jadual perlawanan bola sepak.”

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 10:26am
d