arena

TSC mula garang Tour of Singkarak

Oleh Azlan Muhammad Zain

TEAM Sapura Cycling (TSC) bermula garang pada perlumbaan pertamanya di Jelajah Asia 2020-21 apabila mendominasi peringkat pertama Tour de Singkarak di Indonesia.

Pasukan benua negara itu memenangi perlumbaan peringkat pertama dari Padang ke Tanah Datar hari ini menerusi pelumbanya dari Australia, Jesse Ewart manakala rakan sepasukan Cristian Raileanu di tangga kedua.

Ewart mencatat masa 2 jam 35 minit 3 saat untuk menjuarai perlumbaan sejauh 107.3 kilometer pada saingan yang membabitkan 98 pelumba dari 18 pasukan.

Keputusan itu membolehkan Ewart menyarung tiga jersi utama bagi kategori individu keseluruhan, mata, bukit selain TSC turut mendahului kategori pasukan keseluruhan.

Turut menggalas cabaran TSC yang muncul di tempat kedua Jelajah Asia 2018-19 adalah Nur Aiman Zariff, Zawawi Azman, Akmal Hakim Zakaria dan Shaiful Adlan Shukri.

Manakala cabaran Terengganu Inc TSG digalas pelumba akademi.

Tour de Singkarak berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia diadakan sebanyak sembilan peringkat.

Disiarkan pada: November 2, 2019 @ 6:27pm
d