arena

Kedah dah buat yang terbaik

Oleh Firdaus Hashim & Syazwan Msar

KETIADAAN tiga tonggak utama mengganggu rentak Kedah apabila mereka gagal memberi tentangan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan tumbang 0-3 pada aksi final Piala Malaysia malam tadi.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, bukan mudah buat skuad kendaliannya menyaingi skuad bintang Harimau Selatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Skuad Helang Merah terpaksa melupakan khidmat dua tonggak pertahanan Renan Alves dan Rizal Ghazali yang mengutip dua kad kuning ketika suku akhir dan separuh akhir sekali gus terpaksa menyaksikan perlawanan dari bangku penonton.

Malah, kecederaan peledak utama dari Sepanyol, Fernando Rodriguez sehari sebelum final menambahkan lagi kepincangan pasukan.

“Saya rasa untuk perlawanan ini bukan senang main dengan JDT. Mereka pasukan yang sangat berkualiti dan kami pula tanpa tiga pemain utama, tapi ia bukan alasan.

“Paling penting aksi malam ini pemain sudah menjalankan tugas dengan baik dan menempuh perjalanan saingan musim ini dari liga, Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya pada sidang media perlawanan.

Pada aksi final itu, JDT menang menerusi tiga gol sumbangan Leandro Velazquez (minit-26), Safawi Rasid (m-34) dan Syafiq Ahmad (m-58).

Kejayaan menjulang Piala Malaysia itu adalah yang kedua selepas memenanginya pada 2017 sejak penubuhan kelab pada 2013.

Malah, ia juga trofi ketiga musim ini selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Super sekali gus mengekalkan dominasi JDT dalam saingan liga tempatan.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 12:34am
d