arena

Pengadil kena 'godam'

Oleh Firdaus Hashim dan Syazwan Msar

PROFIL pengadil utama perlawanan final Piala Malaysia antara Kedah bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, Muhammad Nazmi Nasaruddin diubah di platform wikipedia lebih 10 kali dalam tempoh 30 minit oleh pihak tidak bertanggungjawab sebaik namanya diumum semalam.

Malah, ada pihak tidak bertanggungjawab mengubah dengan memasukkan maklumat tidak masuk akal termasuk mendakwa Muhammad Nazmi pernah melayangkan kad merah kepada legenda bola sepak Perancis, Zidane Zidane.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dali Md Wahid berkata, tindakan terbabit sengaja dilakukan pihak tertentu bagi membangkitkan rasa tidak puas hati kedua-dua penyokong pasukan terbabit menjelang perlawanan final Piala Malaysia.

Beliau berkata, semua pengadil termasuk pembantu pengadil yang dipilih mengadili pada malam ini tiada kena mengena dengan Kedah mahu pun Johor.

“Seperti saya maklum semalam, semua pengadil bebas daripada sebarang kontroversi dan masalah sepanjang karier mereka mengadili perlawanan.

“Nazmi pula sebenarnya lahir di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Pulau Pinang. Jadinya semua yang tertera di wikipedia sudah diubah oleh pihak tertentu dengan sengaja mahu menimbulkan kemarahan orang lain.

“Sejak semalam (kelmarin) saya sudah menerima banyak pertanyaan daripada banyak pihak yang mempersoalkan pemilihan pengadil, namun hakikatnya semua itu tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sementara itu, hasil semakan Arena Metro mendapati profil Muhammad Azmi masih lagi diubah oleh pihak tertentu dengan ada antara mereka meletakkan tempat lahirnya di Pontian, Johor dan Padang Serai, Kedah serta Harare, Zimbabwe.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 5:00am
d