arena

Britain benam Malaysian Tigers

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki lelaki negara berdepan tugas sukar untuk memastikan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas 1-4 pada perlawanan pertama kempen kelayakan bertemu Britain di Pusat Tennis dan Hoki Lee Valley awal pagi ini.

Anak buah Roelant Oltmans bagaimanapun bermula baik apabila berada di depan minit keenam menerusi pukulan sudut penalti Nabil Fiqri Mohd Noor.

Ketangkasan penjaga gol berpengalaman, S Kumar menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Britain selepas itu, memastikan gawang gol negara tidak dibolosi sekali gus kedudukan itu kekal selepas tamat separuh masa pertama.

Namun memasuki babak kedua, Britain akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Sam Ward minit ke-33.

Gol itu membangkitkan semangat pemain tuan rumah dengan Phil Roper meletakkan Britain di depan tiga minit kemudian.

Alan Forsyth dan James Gall memastikan kemenangan Britain selepas masing-masing menyumbang gol padang minit ke-42 dan 47.

Malaysian Tigers cuba memberikan tentangan lewat saingan namun terpaksa akur dengan kekalahan itu.

Skuad negara akan kembali beraksi pada aksi kedua jam 11 malam ini.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 8:29am
d