arena

Karnival Bola Sepak Nuri-Sportrevo meriah

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

CUACA hujan sebelah petang tidak menghalang kemeriahan Karnival Bola Sepak Nuri-Sportrevo 2019 berlangsung di Pusat Sukan KLFA, Taman Melawati, di sini, semalam. Buat julung kalinya Bank Rakyat berkolaborasi dengan jenama barangan sukan terbabit dalam penganjuran karnival yang disertai 144 ahli Kelab Nuri Bank Rakyat berusia antara tujuh hingga 18 tahun.

Bermatlamat mencungkil pelapis dalam sukan bola sepak karnival mendapat sokongan enam bekas pemain kebangsaan iaitu Shukor Adan, Safiq Rahim, Mahali Jasuli, Razman Roslan, Amirul Hadi Zainal dan Khairul Fahmi Che Mat.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, karnival itu inisiatif Bank Rakyat sebagai Bank Lestari menerusi pelan lima tahun Bank Rakyat 2025 iaitu BR25.

Katanya, ia sejajar Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) mereka yang memfokuskan kepada kesihatan baik serta kesejahteraan dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan ahli Kelab Nuri.

"Sebenarnya, karnival ini idea Safiq sendiri yang memberi peluang kanak-kanak ini bertemu dengan bekas pemain kebangsaan. Karnival bola sepak ini amat bagus bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak. Malah kita lihat semangat mereka ini lain dengan kehadiran bekas pemain Harimau Malaya ini," katanya ditemui di karnival itu.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang mengembangkan karnival itu ke seluruh negara dalam masa terdekat.

Sementara itu, sikap selamba pemain bola sepak profesional terbabit melayan keletah pemain cilik serta ibu bapa mereka untuk bergambar dan mendapat tandatangan menceriakan suasana karnival.

Terdahulu, kelibat pemain muda daripada 12 pasukan bertanding kelihatan begitu lincah di padang merencana serangan dan ligat mencari jalan untuk mencuri bola daripada kaki pihak lawan. Pasukan Akademi Tunas Terengganu muncul juara Champion Cup dan turut meraih piala penjaring terbanyak menerusi pemain mereka, Hafiy Safiy, 10.

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 10:06pm
d