arena

Sociedad cabar pendahulu La Liga

Oleh Reuters

REAL Sociedad menyamai mata dengan pendahulu La Liga, Barcelona selepas menang 2-1 ke atas pasukan sedang meningkat naik Granada di gelanggang lawan menerusi jaringan lewat penyerangnya Cristian Portu.

Portu memberikan pasukan itu mendahului setengah jam permainan separuh masa pertama berlalu, memanfaatkan hantaran daripada Mikel Oyarzabal dan penuh yakin merembat di sudut penjuru bawah selepas Granada hilang tumpuan di kawasan mereka.

Pasukan yang dinaikkan pangkat ke liga utama Granada tergelincir dari puncak carta liga pertengahan minggu lalu selepas mendahului permulaan musim dan berpeluang berada di puncak liga mengatasi Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid yang kesemuanya gagal menang pada perlawanan Sabtu.

Mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi rembatan jarak jauh berpunca sepakan percuma yang diambil Alvaro Vadillo dan dibantu aksi kurang kemas penjaga gol Sociedad, Alex Remiro.

Namun pelawat bangkit menjaringkan gol pada minit ke 89 untuk memungut tiga mata penuh, ketika pemain gantian Adnan Januzaj beraksi cemerlang memberikan tekanan kepada pasukan lawan.

Kemenangan itu membolehkan Real Sociedad berada di kedudukan ketiga dalam carta liga dengan 22 mata selepas 12 perlawanan, menyamai mata pasukan di tempat kedua Real Madrid dan pendahulu Barcelona yang mana kedua-duanya mempunyai kelebihan kurang satu aksi perlawanan.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 10:51am
d