arena

Silva belum pasti menentang Liverpool

Oleh Reuters

PERANCANG Manchester City David Silva belum pasti untuk diturunkan berdepan pendahulu liga, Liverpool pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini akibat kecederaan otot dialami, menurut pengurus Pep Guardiola.

Silva tampil dalam semua 11 perlawanan City musim ini dan beraksi ketika menang 2-1 mengatasi Southampton, kelmarin tetapi pemain berusia 33 tahun itu digantikan oleh penyerang Gabriel Jesus sebelum separuh masa pertama.

“David Silva cedera. Lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir dia memberitahu berdepan masalah otot,” kata Guardiola kepada media.

“Apabila dia mempunyai masalah otot dan tidak dapat bermain lebih lama disebabkan masalah dihadapinya itu yang membabitkan sekurang-kurangnya 10-12 hari.”

Skuad Guardiola ketinggalan enam mata di belakang Liverpool yang dihadapi mereka di Anfield pada 10 November ini (Ahad), empat hari selepas berkunjung ke Atalanta, Italy untuk perlawanan Liga Juara-Juara (UCL).

Juara bertahan itu satu-satunya kelab yang menewaskan Liverpool dalam saingan EPL musim lalu dengan kelab Merseyside itu menamatkan saingan di tempat kedua kurang satu mata.

Guardiola berkata masih terlalu awal untuk melihat perlawanan Ahad ini terhadap siapa yang berkelebihan untuk bergelar juara liga.

“Kami akan ke Itali dan apabila kembali akan ke Anfield. Kita akan lihat,” katanya.

“Banyak perkara akan berlaku dan banyak perlawanan perlu dihadapi.”

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 5:56pm
d