arena

Ewart mula tergugat

Oleh Azlan Muhammad Zain

JERSI kuning milik pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Jesse Ewart terselamat walaupun usaha merampasnya pada peringkat ketiga Tour de Singkarak, Indonesia, semalam.

Pelumba dari Filipina, Ismael Jr Grospe yang mewakili Team Go For Gold berjaya menjuarai peringkat ketiga dari Lima Puluh Kota ke Padang Panjang sejauh 125.6 kilometer yang turut mempertandingkan tiga zon pendakian kategori dua serta tiga zon pecutan.

Manakala Ewart yang memenangi peringkat pertama dan kedua menamatkan saingan peringkat ketiga di kedudukan ke-26, ketinggalan 42 saat di belakang Grospe yang mencatat tiga jam 16 minit 14 saat.

Grospe yang turut merampas jersi bukit, melonjak 11 kedudukan ke tempat ketiga jersi kuning dengan mengumpul 8'46:16s, ketinggalan 03:27s di belakang Ewart serta seorang lagi pelumba TSC, Cristian Raileanu.

Jersi kategori pecut milik Ewart turut dicabar dengan pelumba Pgn Road Cycling Team dari Indonesia, Bambang Suryadi kini dibezakan dengan tiga mata selepas memenangi tiga zon pecutan dan menamatkan peringkat ketiga di kedudukan kedua.

Ewart yang juga pemenang jersi kuning edisi 2018 akan terus dicabar pada peringkat keempat yang panjang dari Dharmasraya ke Sawahlunto sejauh 205.3km hari ini.

Perlumbaan mempertandingkan sembilan peringkat secara keseluruhan termasuk dua pendakian kategori hors membabitkan 18 pasukan bertanding dengan TSC kekal mendahului pasukan terbaik apabila mengumpul 26'19:36s.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 6:48pm
d