arena

Kehebatan JDT hasil pelan menyeluruh

KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mengecapi pelbagai kejayaan dengan yang terbaru mendakap Piala Malaysia adalah hasil pelan menyeluruh dalam memastikan kelangsungan kelab untuk sasaran jangka pendek dan panjang.

Pengarah Teknikal Kelab, Alistair Edwards dalam kenyataannya berkata, memiliki wang tanpa pengetahuan dan kesungguhan untuk berjaya tidak akan menjadikan JDT sebuah empayar seperti hari ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa pihak lain seperti Pahang, Kedah, Selangor dan Felda United membelanjakan banyak wang hingga mencecah RM40 juta setahun untuk membina pasukan.

“Sepanjang 10 tahun, beberapa pasukan juga berbelanja hingga RM300 juta atau RM400 juta, namun kebanyakan pasukan ini masih tidak mempunyai kemudahan asas seperti pusat latihan, kelengkapan dan kepakaran untuk membantu perkembangan pemain.

“Sebaliknya, kebanyakan wang ini digunakan hampir sepenuhnya untuk mendapatkan pemain dalam mengejar kejayaan segera.

“Di JDT, kelab melabur dalam memastikan fasiliti dan kelengkapan berada pada tahap terbaik dan mempunyai kepakaran dalam membantu pembangunan pemain,” katanya.

Selain itu, Alistair turut menyatakan bahawa pemain seperti Safawi Rasid, Afiq Fazail, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba dan Syafiq Ahmad berjaya meningkatkan prestasi mereka melalui fasiliti dan sistem sokongan JDT yang serba canggih.

“Fasiliti sama turut diberikan kepada pemain muda di Akademi JDT dan keputusan yang ditunjukkan adalah bukti apabila JDT memenangi enam kejuaraan junior kebangsaan dari Bawah-12 hingga Bawah-17 sepanjang dua tahun ini,” katanya.

Arena Metro hari ini melaporkan JDT boleh diibaratkan sebagai Barcelona, Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) versi Malaysia yang mempunyai sumber dana besar sekali gus mampu menyediakan segala fasiliti lengkap dan canggih selain membawa masuk pemain berkualiti untuk pasukan.

Disiarkan pada: November 4, 2019 @ 11:47pm
d