arena

Kumpul 2505 mata

Oleh Azlan Muhammad Zain

JAGUH negara, Azizulhasni Awang terus membanggakan apabila berada di kedudukan kedua dunia bagi acara keirin menerusi kemaskini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada minggu lalu.

Pencapaian meraih perak acara keirin di Kejohanan Trek Asia 2020 di Korea Selatan pertengahan bulan lalu membolehkan dia melonjak satu tempat ke kedudukan kedua, mengatasi pelumba Belanda, Matthijs Buchli.

Bagaimanapun, pelumba Jepun, Yudai Nitta yang meraih gangsa di Korea Selatan kekal di kedudukan pertama keirin dengan mengumpul 2850.

Azizulhasni selaku naib juara di Korea Selatan menambah 540 mata untuk mengumpul 2505 mata. Buchli di kedudukan ketiga dengan 2320 mata, manakala jaguh New Zealand, Edward Dawkins keempat dengan 2035 mata.

Kedudukan ranking terbaru dilihat memberikan tonik terbaik untuk Azizulhasni terus mencabar di pentas dunia terutamanya apabila kembali beraksi pada siri Piala Dunia di Hong Kong hujung bulan nanti.

Bagaimanapun, kejayaan The Pocketrocketman meraih emas pecut individu di Korea Selatan tidak banyak mengubah ranking kedudukannya dalam acara itu. Walaupun dia menambah 600 mata susulan kejayaan meraih emas, kedudukannya adalah di tempat ke-17 dunia dengan 1487 mata.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 6:00am
d