arena

Ranieri raih kemenangan sulung

Oleh AFP

CLAUDIO Ranieri memastikan kemenangan pertamanya sebagai jurulatih Sampdoria awal pagi tadi selepas tandukan lewat Gianluca Caprari membantu kemenangan 1-0 ke atas SPAL pada aksi Serie A Itali.

Manolo Gabbiadini kecewa apabila golnya dibatalkan kerana ofsaid pada awal babak kedua, namun pemain gantian Caprari menanduk masuk hantaran silang Fabio Depaoli pada minit ke-91 untuk meledak gol pertamanya musim ini dan meraih tiga mata.

“Satu keputusan baik tidak mengubah banyak perkara,” kata Ranieri, yang mengambil alih kelab itu bulan lalu dan seri dua kali serta kalah sekali dalam tiga perlawanan pertama kendaliannya.

“Ia kemenangan yang membantu untuk menyemarakkan semula musim kami, tapi saya tidak terlalu gembira hinggalah kami keluar daripada zon bahaya,” jelas pengendali berusia 67 tahun itu, pasukannya melonjak dari tangga tercorot Serie A namun masih berada dalam zon penyingkiran.

Ranieri, yang mengemudi kelab kerdil Leicester City memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris 2016, menggantikan Eusebio di Francesco, yang dipecat selepas permulaan buruk musim ini.

Sampdoria, yang berakhir di tangga kesembilan musim lalu, meraih kemenangan pertama di gelanggang lawan musim ini dengan kemenangan tunggal mereka sebelum ini di laman sendiri menentang Torino dua bulan lalu.

SPAL merudum ke tangga tercorot selepas kekalahan kelapan daripada 11 perlawanan.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 8:05am
d