arena

'Saya tak akan lari' - Oltmans

Oleh Azlan Muhammad Zain

PENGENDALI skuad hoki negara, Roelant Oltmans tidak akan melepaskan jawatan walaupun sentuhannya gagal membawa Malaysian Tigers ke Olimpik Tokyo.

Tegas pengendali kelahiran Belanda berusia 65 tahun itu, beliau bukanlah individu yang akan bertindak meninggalkan skuad negara apabila gagal selain masih mempunyai baki kontrak sehingga Oktober tahun depan.

"Saya mempunyai rancangan A atau B (layak Olimpik atau sebaliknya). Saya bukan jenis (individu) yang melarikan diri," katanya yang tiba bersama skuad negara di KLIA.

Jelasnya, untuk mencapai kejayaan, ia memerlukan proses lama dan tidak boleh dilakukan sekelip mata.

"Saya percaya mereka berpotensi namun terdapat aspek yang perlu dilihat seperti tahap agresif dalam permainan yang perlu dilihat. Kritikan (kerana tewas) adalah sebahagian daripada permainan.

“Pemain berusaha dengan keras namun terdapat keadaan tidak memihak kepada kita. Kami mencipta banyak peluang namun ada masanya tiada tuah," tambahnya.

Oltmans dilantik ketua jurulatih negara pada Oktober tahun lalu bagi menggantikan Stephen Van Huizen yang diturunkan pangkat sebagai penolong jurulatih.

Kekalahan 9-3 secara agregat kepada Great Britain dalam dalam dua aksi play-off kelayakan Olimpik 2020 di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London meranapkan impian skuad negara sejak kali terakhir mara pada Olimpik 2000.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 9:22pm
d