arena

Pengganti Kovac dalam masa tiga minggu lagi

Oleh AFP

PRESIDEN Bayern Munich, Uli Hoeness berkata, gergasi Jerman itu dijangka menamakan ketua jurulatih baharu bagi menggantikan Niko Kovac dalam masa tiga minggu lagi manakala laporan hari ini berkata, pengurus Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel menolak tawaran itu.

Kovac dipecat pada Ahad lalu selepas 16 bulan mengendalikan tugas susulan kekalahan 1-5 di Eintracht Frankfurt yang menyebabkan mereka merosot ke tangga keempat Bundesliga dan pembantu Kovac, Hansi Flick dilantik pengendali sementara.

Hoeness berkata, mereka tidak terburu-buru mencari ketua jurulatih baharu dengan keputusan bakal dibuat ketika rehat antarabangsa.

"Saya fikir menjelang perlawanan di tempat lawan di Duesseldorf (23 November), isu jurulatih akan selesai,” kata Hoeness.

Menurut Sky Germany, jurulatih PSG, Tuchel yang kontraknya tamat pada 2021 dihubungi Bayern tetapi menolak sebarang perpindahan segera.

Jurulatih Ajax, Erik ten Hag, salah seorang calon pilihan yang mengendalikan skuad simpanan Bayern pada musim 2013-15 turut mengumumkan tidak akan meninggalkan kelab Belanda itu sebelum penghujung musim.

Massimiliano Allegri, Jose Mourinho dan Arsene Wenger yang semuanya tidak memiliki kelab dinamakan media Jerman antara calon pengendali Bayern.

Penolong jurulatih Joachim Loew, Flick ketika Jerman muncul juara Piala Dunia 2014 akan menjalankan tugas sekurang-kurangnya ketika Bayern menentang Olympiakos dalam aksi Liga Juara Juara pada awal pagi Khamis ini dan menentang Borussia Dortmund dalam saingan getir Bundesliga pada Sabtu ini.

Disiarkan pada: November 5, 2019 @ 10:20pm
d