arena

Lin Dan tetap optimis ke Tokyo

Oleh AFP

LIN Dan hari ini menafikan laporan bahawa dia akan bersara dan menjelaskan tidak akan berputus asa untuk memburu pingat emas Olimpik ketiganya.

Atlet China berusia 36 tahun itu, dianggap pemain badminton terbaik dunia, tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka China di Fuzhou kepada rakan senegaranya, Chen Long.

Ia satu lagi tamparan hebat terhadap peluangnya yang semakin samar untuk ke Sukan Olimpik Tokyo tetapi Lin Dan berjanji untuk terus berjuang meskipun media China melaporkan bahawa Fuzhou adalah kejohanan terakhirnya.

“Saya tidak tahu mengenai khabar angin itu, saya fikir masih terlalu awal untuk bercakap mengenai persaraan,” Lin Dan dilaporkan sebagai berkata oleh agensi berita Xinhua.

“Saya tidak akan mengalah untuk layak ke Olimpik 2020 sehingga ke minit terakhir.”

Lin Dan, juara dunia lima kali dan juara Olimpik 2008 dan 2012, menang set pertama ke atas Chen, 21-19.

Namun Chen, pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, bangkit untuk dua set berikutnya 21-12, 21-12 dan menunjukkan jalan keluar buat Lin Dan.

Lin Dan kini tewas lapan kali dalam pusingan pertama dalam kejohanan yang disertainya tahun ini.

Pernah menjadi pemain nombor satu dunia, rankingnya kini jatuh ke tangga ke-18.

Disiarkan pada: November 6, 2019 @ 10:29pm
d