arena

Subahan telan segala tohmahan

Oleh Azlan Muhammad Zain

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal tenang dengan sebarang tomahan dilemparkan terhadapnya selepas diumumkan menang tanpa bertanding kerusi nombor satu itu.

Dia mengekalkan pucuk kepimpinan MHC bagi tempoh empat tahun lagi apabila pencabarnya, Datuk Kamarudin Meranun tidak mendapat sekurang-kurangnya tiga pencalonan berdasarkan perlembagaan persatuan.

"Semua tomahan saya bersabar dan akan mengambil tindakan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 16 November. Kekuatan saya adalah keikhlasan dan kerajinan.

"Empat tahun pentadbiran dijalankan dengan begitu baik sehingga mendapat lima bintang dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

Hutang (pentadbiran terdahulu) yang ditinggalkan sudah saya jelaskan, berjumlah RM2.6 juta.

"Jadi tidak perlu saya komen lebih, dengan ahli gabungan tahu menilai.

Hanya simpati dengan Datuk Kamarudin yang juga sahabat saya, digunakan orang tertentu untuk kepentingan mereka," jelas Subahan.

Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra ketika mengumumkan senarai calon yang layak bertanding semalam berkata, Subahan yang memimpin badan itu sejak 2015 mendapat 13 pencalonan manakala Kamarudin hanya memperoleh dua pencalonan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah yang mewakili kem Kamarudin mendakwa terdapat pertukaran nama saat akhir dari Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad berkenaan kepada Subahan yang dilakukan Persatuan Hoki Kedah.

"Saya dimaklumkan Mesyuarat Majlis Persatuan Hoki Kedah pada 30 Oktober sebulat suara bersetuju mencalonkan Kamarudin sebagai presiden dan borang pencalonan sudah dihantar pada 1 November.

Bagaimanapun saya difahamkan ada pertukaran dilakukan oleh presidennya sebelum tarikh tutup (2 November),” dakwanya.

Malah Majid yang bertanding jawatan naib presiden turut mengumumkan menarik diri bersama kem Kamarudin yang lain termasuk Timbalan Presiden (wanita), K Maheswari serta tiga lagi calon naib presiden, Datuk Ow Soon Kooi, Datuk Che Khalib Mohamad Noh dan Lum Sau Foong.

"Itu hak masing-masing. Jika saya mendapat 13 pencalonan pasti negeri tahu menilai baik dan buruk," tambah Subahan ketika ditanya usaha memanjangkan perkara itu kepada PPS.

Subahan dan Timbalan Presiden (wanita), Datuk Dr S Shamala menyatakan tidak akan bertanding semula sekiranya lelaki gagal ke Olimpik Tokyo 2020 namun membuat mengubah pendirian pada hujung bulan lalu.

Skuad negara kendalian Roelant Oltmans gagal ke Tokyo selepas kecundang 9-3 secara agregat kepada Great Britain, minggu lalu.

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 4:41pm
d