arena

Barca mahu kembali menang

Oleh Reuters

PENDAHULU La Liga Barcelona melangkah ke hujung minggu ini dengan harapan kembali ke landasan terbaik selepas gagal menenangi dua perlawanan terakhir ke atas dua pasukan bawahan dan jurulatih Ernesto Valverde kini berdepan tekanan.

Kekalahan kepada Levante 1-3 hujung minggu lalu disusuli seri tanpa jaringan dengan Slavia Prague dalam Liga Juara-Juara, menyebabkan peminat meluahkan rasa tidak puas hati.

Mereka menanti kunjungan Celta Vigo awal pagi Ahad dan Valverde percaya pasukannya mampu kembali merakam kemenangan sepantas mereka menjunam kebelakangan ini.

Begitupun beliau mengakui mereka perlu segera menang.

“Sesuatu yang bagus apabila peminat mengharapkan yang terbaik daripada kami,” kata Valverde.

“Dalam bola sepak segala-galanya berlaku begitu pantas. Sehingga beberapa hari lalu, kami sentiasa meraih kemenangan dan kini segala-galanya berubah sekelip mata.

“Jika ini boleh berubah dalam tempoh beberapa hari, anda boleh melepasinya dalam tempoh itu juga.

“Dalam bola sepak hari ini, dengan pasukan seperti kami, satu perkara yang diambil perhatian adalah menang setiap perlawanan dan jika anda boleh melakukannya dengan menewaskan lawan, lebih baik. Ia tidak pernah cukup.”

Disiarkan pada: November 7, 2019 @ 11:35pm
d