arena

Mike tak rela terlepas gelaran Mr Universe

Oleh Azlan Muhammad Zain

JAGUH bina badan, Syarul Azman Mahen Abdullah bersedia mempertahankan gelaran Mr Universe buat kali keempat berturut-turut di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Korea Selatan, hujung minggu ini.

Jelasnya, persiapan berjalan lancar selepas meraih gelaran kelima berturut-turut Mr Asia di Batam, Indonesia penghujung September lalu.

"Semua persiapan berjalan lancar, saya terus membuat persiapan untuk menghadapi Mr Universe sekitar lima minggu. Sudah pasti sebagai juara bertahan, saya perlu bekerja keras kerana semua peserta terutamanya muka baru pasti mempamerkan kemampuan mereka. "Saya perlu menjaga kesihatan kerana cuaca yang sejuk. Tiada apa perlu dirisaukan kerana saya sudah mempunyai pengalaman berhadapan situasi seperti ini," katanya.

Atlet yang dikenali sebagai Mike berkenaan antara tujuh atlet yang menggalas cabaran negara di Korea Selatan selain Buda Anchah, Ahmad Faiz Ariffin dan Malvern Abdullah.

"Saya yakin atlet lain turut berpeluang muncul juara seperti Buda dan Malvern yang sudah berpengalaman beraksi di pentas tinggi ini. Malah Ahmad Faiz mungkin mampu meneruskan kejutan seperti dilakukannya ketika muncul Mr Asia di Batam," tambahnya.

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 8:09pm
d