arena

Bravo kawal gawang City lawan Liverpool

Oleh Reuters

PENJAGA gol Manchester City, Ederson terlepas aksi menentang pendahulu Liga Perdana, Liverpool awal pagi Isnin ini susulan kecederaan otot dengan Claudio Bravo dijangka mengambil alih tugas mengawal gawang, kata pengurus, Pep Guardiola hari ini.

Ederson yang tidak dibolosi dalam lima perlawanan terpaksa dikeluarkan pada babak pertama ketika seri 1-1 menentang Atalanta dalam aksi Liga Juara Juara yang menyaksikan pemain Brazil itu berjalan terhincut hincut selepas tamat perlawanan.

Bravo kemudiannya dilayangkan kad merah dan pemain pertahanan, Kyle Walker mengambil alih tugas bagi tempoh 10 minit terakhir tetapi Guardiola berkata dia yakin dengan pengalaman luas penjaga gol dari Chile itu dalam perlawanan membabitkan dua pasukan teratas liga.

"Dia (Ederson) tidak dapat beraksi esok tetapi kami ada seorang lagi penjaga gol yang bagus, Claudio Bravo," kata Guardiola kepada wartawan.

"Kami menjuarai Piala Carabao dan FA terima kasih kepada Claudio Bravo. Dia penjaga berkualiti, bertaraf antarabangsa. Saya tak ragui kemampuannya.

"Saya lihat dia ketika sesi latihan setiap hari. Kami tak kalah kerana Claudio. Kad merah itu kerana hilang bola. Hormati dia, dia penjaga gol berwibawa.”

Liverpool dan City seri tanpa jaringan di Anfield musim lalu. Walaupun ada yang mempersoalkan strategi bertahan City, Guardiola berkata ia sebagai penyesuaian dengan strategi Liverpool.

"Ada ketika anda perlu sesuaikan dengan pasukan sehebat Liverpool. Penyokong perlu tahu kami menentang juara Eropah. Mereka pasukan sangat lengkap dan kami perlukan persaingan seperti ini.”

Disiarkan pada: November 8, 2019 @ 11:40pm
d