arena

'Ada unsur penipuan'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PERSATUAN Hoki Kedah (KHA) mengemukakan aduan rasmi berhubung isu penukaran nama calon presiden di saat akhir yang menafikan peluang Pengerusi Eksekutif Air Asia Group Bhd, Datuk Kamarudin Meranun untuk bertanding jawatan tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Menerusi surat bertarikh 7 November, KHA mendesak siasatan dan tindakan sewajarnya diambil atas salah laku yang melanggar peraturan dan protokol membabitkan proses pencalonan menjelang Mesyuarat Agung MHC ke-66, 16 November ini.

Surat itu diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Majlis Olimpik Malaysia dan Pesuruhjaya Sukan.

Naib presiden KHA, Dr S Thaitchana Muruthi berkata, pihaknya yakin berlaku penipuan dalam senarai calon dihantar kepada Sekretariat MHC dan turut memberi kronologi penyerahan borang untuk pemahaman pihak berkuasa terbabit.

“Sebaik menerima notis AGM daripada MHC, satu mesyuarat majlis tertinggi KHA diadakan pada 30 Oktober lalu. Majlis tertinggi kemudian memutuskan pencalonan bagi jawatan Lembaga Eksekutif MHC dan menghantar borang pencalonan kepada sekretariat MHC pada 1 November sebelum emel kedua keesokan harinya kerana berlaku kesalahan ejaan pada pencalonan presiden,” katanya.

Bagaimanapun, KHA difahamkan, sewaktu MHC mengumumkan senarai calon pada 6 November lalu, ia sudah diubah pihak tertentu.

“Kami yakin ada unsur penipuan dan berharap MHC membatalkan keseluruhan proses pemilihan ini dan melaksanakan pencalonan baharu. Dalam masa sama, kami mahu panel pemilihan bebas ditubuhkan bagi memastikan keseluruhan proses pemilihan yang telus dan adil kepada semua pihak.

“Kami juga mahukan campur tangan segera pihak berkuasa bagi menghentikan proses yang tidak betul ini dan tindakan diambil bagi melindungi imej sukan di negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 6:30am
d