arena

Nasib Xhaka tak pasti

Oleh Reuters

PENGENDALI Arsenal Unai Emery berkata beliau tidak tahu sama ada pemain tengah Granit Xhaka akan bermain lagi untuk kelab itu selepas pemain Switzerland itu mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong tuan rumah dan dilucutkan daripada gelaran kapten.

Xhaka tidak bermain sejak insiden di Stadium Emirates 27 Oktober lalu dan Emery memberitahu media hari ini bahawa pemain itu meminta agar tidak dipilih untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City awal pagi esok.

Pengurus itu berkata Arsenal akan menunggu hingga Xhaka benar-benar bersedia untuk kembali bermain untuk kelab itu tetapi kemudiannya berkata beliau tidak pasti perkara itu akan berlaku.

“Kami perlukan pemain seperti Granit Xhaka tetapi juga saya tidak pasti sama ada dia akan bermain lagi,” BBC melaporkan jurulatih Sepanyol itu sebagai berkata.

“Saya tidak pasti sama ada dia akan mampu membantu kami dan terus mempertahankan jersi Arsenal.”

Ditanya mengenai kemungkinan perpindahan pada Januari, pengurus itu berkata beliau tidak terfikir mengenainya kerana masih berada di bulan November.

“Kami mempunyai banyak perlawanan pada November dan Disember. Kami tidak boleh menukarnya dalam tempoh dua bulan itu.

“Kelab sedang berbincang dengannya dan kami akan memutuskan keadaannya dan bagaimana saya akan menggunakannya.”

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 9:11am
d