arena

Giliran Sociedad terajui La Liga

Oleh AFP

KELAB Basque, Real Sociedad menduduki puncak La Liga awal pagi tadi hasil keputusan seri 1-1 di laman sendiri menentang pasukan tercorot Leganes.

Pada musim yang menyaksikan beberapa kelab naik ke tangga teratas La Liga termasuk Granada, Sociedad mencatat 23 mata daripada 13 perlawanan dengan Barcelona dan Real Madrid hanya ketinggalan satu mata dengan kelebihan dua perlawanan dan kedua-duanya bermain awal pagi esok.

Penyerang Leganes Mikel Merino memecah kebuntuan pada minit ke-63 sebelum pemain Maghribi Youssef En-Nesyri menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-78.

“Saya melihat wajah muram di dalam dan di luar bilik persalinan tetapi kami perlu gembira,” kata jurulatih Sociedad Imanol Alguacil.

Rakan sejawatannya Javier Aguirre berpendapat mata pertama dalam perlawanan pertama kendaliannya juga sesuatu yang positif.

“Kami masih di tangga terbawah dan itulah yang berlaku tetapi kami mendapat mata di laman yang sukar menentang pasukan yang kuat di tangga teratas liga dan saya bangga dengan anak buah saya,” kata Aguirre.

Leganes hanya mengumpul enam mata dan akan terus bergelut untuk melepasi zon penyingkiran.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 9:28am
d