arena

Chelsea lonjak tangga kedua liga

Oleh AFP

CHELSEA meraih kemenangan keenam berturut-turut dan melonjak ke tangga kedua Liga Perdana selepas menewaskan Crystal Palace 2-0 hasil jaringan Tammy Abraham dan Christian Pulisic di Stamford Bridge, sebentar tadi.

Kemenangan itu meletakkan mereka kini lima mata di belakang pendahulu Liverpool dan skuad Frank Lampard satu mata mengatasi Manchester City yang akan berkunjung ke Anfield awal pagi Isnin ini.

Jaringan ke-10 liga Abraham dan tandukan Pulisic memastikan kemenangan ke atas Palace yang lebih banyak bertahan pada babak pertama.

Selepas berakhir babak pertama tanpa jaringan, Chelsea akhirnya memecah kebuntuan menerusi kombinasi Mateo Kovacic dan Willian yang membolehkan Abraham merembat dari jarak dekat untuk gol pertama pada minit ke-52.

James Tomkins yang menerima hantaran Luka Milivojevic dari sebelah kanan terlepas peluang terbaik menyamakan kedudukan buat Eagles apabila tandukannya tersasar.

Pulisic memastikan tiga mata dalam genggaman menerusi tandukan jarak dekat 11 minit sebelum tamat permainan.

Disiarkan pada: November 9, 2019 @ 11:12pm
d