arena

'Rasa macam jadi Federer, Nadal'

Oleh AFP

PEMAIN remaja Itali Jannik Sinner mengakui dia berasa bagaikan Roger Federer atau Rafael Nadal apabila menjadi tumpuan selepas menewaskan pilihan utama dari Australia Alex de Minaur dengan straight set untuk menjuarai Kejuaraan Akhir ATP Next Gen di laman sendiri di Milan, awal pagi tadi.

Sinner, 18, pilihan kelapan wildcard menyelamatkan lapan break point untuk menang 4-2, 4-1, 4-2 dalam tempoh hanya sejam ke atas pemain ranking 18 dunia De Minaur, yang juga tewas final tahun lalu kepada Stefanos Tsitsipas.

Kejohanan itu yang bermula pada 2017, menampilkan lapan pemain terbaik di bawah 21 tahun dalam Jelajah ATP.

Sinner hadir sebagai pemain wildcard terakhir selepas musim di mana dia melonjak hampir 500 anak tangga untuk berada dalam kelompok 100 teratas.

Pemain berasal dari utara Itali, bersempadan dengan Austria menjadi tumpuan dengan sokongan luar biasa penyokong tuan rumah.

“Ia sesuatu yang berbeza,” katanya.

“Saya tidak pernah menerima sokongan seperti ini, biarpun di gelanggang. Saya tidak tahu sama ada Roger atau Rafa masih menikmati suasana seperti ini.

“Saya masih muda dan benar-benar menikmatinya.”

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 12:35pm
d