arena

Semoga e-sukan capai tahap kompetitif

Oleh BERNAMA

PERTEMUAN Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan pihak peringkat akar umbi sukan elektronik (e-sukan), Khamis lalu diharap menjadi permulaan yang baik untuk pembangunan sukan itu ke tahap yang lebih tinggi.

Presiden E-Sukan Kuala Lumpur (ESKL), Hisham Darus menyifatkan ia sebagai satu platform yang baik untuk mencari titik pertemuan antara KBS dan Persatuan E-Sukan Malaysia (ESM) serta mereka di peringkat akar umbi.

Hisham sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila mendakwa penggiat sukan itu tidak menerima sebarang bantuan dan sokongan daripada KBS mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana sudi mendengar teguran dan pandangan pihak akar umbi.

“Teguran saya hari itu adalah lebih kepada kritikan membina, ia bukan untuk diri saya, bukannya hanya ESKL, tetapi untuk kemaslahatan dan kemajuan e-sukan secara keseluruhan.

Ini merupakan titik permulaan yang baik, khususnya kepada persatuan ESM, sebagai badan kebangsaan untuk membawa suara-suara kementerian dan aspirasi kerajaan untuk dipanjangkan ke peringkat akar umbi,” katanya.

Timbalan Presiden ESM, Afiq Fadhli Narawi yang mengetuai delegasi itu berkata antara aspek dibincangkan adalah pemerkasaan sukan itu, kolaborasi antara ESM dan persatuan negeri serta permasalahan yang dihadapi oleh skuad Sukan SE, terutamanya kekangan kewangan.

Beliau berkata pelan pembangunan e-sukan KBS (sebelum ini diberi nama blueprint e-sukan kebangsaan) merangkumi hala tuju e-sukan yang lebih dinamik akan dilancarkan pada 21 November ini.

“Pelan merangkumi banyak hala tuju dan bagaimana kita nak capai setiap objektif itu. Kita membincangkan untuk meningkatkan penganjuran kejohanan di peringkat kebangsaan.

Kita akan tubuhkan jawatankuasa khas untuk memulakan liga e-sukan kebangsaan pada tahun depan.

Bagaimanapun, ia masih dalam perbincangan untuk kolaborasi dengan pemain industri sebelum menentukan nama permainan dan jangka masa liga itu,” katanya.

Beliau berkata pemilihan Malaysia sebagai destinasi penganjuran dua kejohanan peringkat dunia pada tahun ini adalah kerana industri e-sukan Malaysia yang berdaya saing dan memiliki potensi yang besar.

Dua kejohanan itu ialah Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang bermula dari 15 hingga 17 November ini di Arena Axiata dan PUBG Mobile Club Open Fall Split Global Finals (PMCO 2019) bermula dari 29 November hingga 1 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 5:53pm
d