arena

Nabil ungguli perlumbaan kedua

Oleh Ferzalfie Fauzi

PELAWAK terkenal, Nabil Ahmad mengungguli perlumbaan kedua Cabaran Perlumbaan Toyota Vios, hari ini apabila muncul juara sekali gus memperbaiki prestasinya di perlumbaan pertama apabila hanya meraih tempat ketiga.

Dalam aksi di Litar Bandar Malaysia, Sungai Besi, Nabil berjaya meninggalkan pesaing terdekat, Khai Bahar dengan perbezaan 9.319 saat.

Khai Bahar pula mempamerkan pemanduan selamat dan sentiasa menjarakkan diri dengan penyanyi wanita, Nabila Razali yang meraih kedudukan ketiga.

Menurut Nabil, dia mengakui kurang mendapat tentangan sengit dalam perlumbaan semalam dan melihat pelumba lain yang juga dalam kalangan artis serta selebriti sedikit bergelut.

“Saya gembira dengan pencapaian hari ini terutama selepas berada satu trek yang sama dengan Shawn Lee dan Shukri Yahaya,” katanya dalam sidang media di Festival Toyota Gazoo Racing (TGR), hari ini.

Shawn dan Shukri sebelum ini beraksi di kelas Sporting musim lalu dan kembali untuk bersaing dalam saingan Promotion (selebriti).

Dalam saingan Super Sporting, Kenny Lee dari Kegani Racing berjaya muncul juara selepas melintasi garisan penamat dengan catatan masa 26 minit 29.357 saat.

Tempat kedua diraih Tengku Djan Tengku Mahaleel (23 Motors), manakala Mark Darwin yang mewakili Laser Motor Racing meraih kedudukan ketiga.

Dalam perlumbaan Sporting, pelumba persendirian Haji Sutan Mustaffa Salihin muncul juara selepas meninggalkan Bradley Benedict Anthony (Dream Chaser) dengan kelebihan 0.362s.

Seorang lagi pelumba persendirian, Dannies Ng menduduki tempat ketiga.

Saingan pusingan ketiga Cabaran Perlumbaan Toyota Vios akan bersambung di Batu Kawan pada Februari tahun depan.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 7:26pm
d