arena

Rodrigo Moreno tersisih kelayakan Euro 2020

Oleh Agensi

RODRIGO Moreno terpaksa diketepikan daripada skuad Sepanyol pada aksi kelayakan Euro 2020 akan datang selepas pemain itu mengalami kecederaan belakang badan ketika membantu Valencia mencatat kemenangan 2-0 ke atas Granada semalam.

Pemain berusia 28 tahun itu Jumaat lalu disenaraikan dalam skuad 23 pemain Sepanyol bimbingan Robert Moreno untuk perlawanan di gelanggang sendiri berdepan Malta pada 15 November dan diikuti melayan kunjungan Romania tiga hari kemudian.

Bagaimanapun, dia diletakkan di bangku simpanan tujuh minit selepas aksi separuh masa kedua berlangsung ketika pertembungan saingan La Liga antara Valencia berdepan Granada dan dijangka terpaksa diketepikan untuk jadual perlawanan berkenaan.

Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol mengesahkan pemain itu menarik diri menerusi Twitter tetapi belum mengumumkan siapa yang akan dipanggil untuk menggantikan pemain berkenaan.

Bercakap selepas kejayaan pasukannya ke atas Granada, ketua jurulatih Valencia, Albert Celades berkata: “Rodrigo digantikan kerana dia mempunyai masalah belakang badan. Kami tidak fikir ia serius tetapi buat masa ini kami tidak tahu apa-apa lagi.”

Moreno tampil bersama Sepanyol dalam tujuh daripada lapan perlawanan kelayakan Euro 2020 dan menjaringkan gol penyamaan lewat berdepan Sweden bulan lalu untuk memastikan tempat mereka di pusingan final tahun depan.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 8:18pm
d