arena

Pemain pamer aksi positif

Oleh Syazwan Msar

ERA baharu bola sepak Malaysia sudah mula menunjukkan perkembangan positif menerusi kejayaan Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara yang melangkah ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan.

Pengendali Skuad B18, Brad Maloney berkata, usaha berterusan dalam menerapkan identiti bola sepak negara kepada pemain muda diterjemahkan menerusi corak permainan yang konsisten seterusnya berjaya membenam Thailand 1-0.

Menurutnya, pemainnya yang bakal bermain di liga tempatan seterusnya akan membawa identiti berkenaan untuk menjadikan bola sepak negara lebih berkualiti pada masa akan datang.

“Sebelum ini, saya sudah berbincang dengan pengurusan FAM dalam usaha untuk membawa identiti dan corak permainan bola sepak negara kepada pemain muda ini.

“Perkara ini sudah menunjukkan petanda positif dan tidak mustahil mutu bola sepak Malaysia akan berada pada era baharu iaitu lebih berkualiti,” katanya, dalam sidang media selepas perlawanan keempat kumpulan G di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh, Kemboja hari ini.

Maloney berkata, pujian harus diberikan kepada pemain yang komited mengekalkan rentak permainan sekali gus menyukarkan Thailand menjaringkan sebarang gol.

“Pemain menunjukkan prestasi cemerlang dan berjaya menyerap setiap serangan selain bijak mengatur strategi ke kubu lawan hingga menghasilkan gol.

“Mereka tidak bermain dalam keadaan tekanan cuma mahukan kemenangan bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya. Ternyata mereka berjaya melakukannya,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2019 @ 10:58pm
d